Saturday, February 27, 2010

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : MASALAH AIR 1998




Masalah bekalan air yang tidak menentu merupakan masalah yang berterusan sejak SBPL mula dibuka hingga sekarang. Keadaan menjadi lebih teruk apabila musim kemarau akibat kolam takungan air di Sungai Miri kering dan bekalan dari Sabah (Beaufort) juga tidak mencukupi.

Semua cabaran ini dihadapi dengan tabah oleh semua warga SBPL/SMSL. Ini tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk menjulang kecemerlangan sekolah. Setiap masalah ada penyelesaian jika kita mengambil sedikit masa untuk berfikir dan membuat tindakan.

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : KEBAKARAN 18 JANUARI 1998






Tanggal 18 Januari 1998 meninggalkan kenangan yang amat menyedihkan kepada warga SMSL. Kebakaran Blok Usaha ketika musim kemarau melanda memusnahkan 8 buah kelas. Pihak sekolah terpaksa menggunakan bilik-bilik asrama yang kosong sebagai kelas sementara. Keprihatinan pelbagai pihak telah memungkinkan pelbagai bantuan segera diberikan. Lawatan Menteri Pelajaran ketika itu Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberi sinar kepada warga SMSL. Pembinaan bangunan gantian memberi kemudahan yang lebih baik untuk murid-murid sekarang.

Wednesday, February 24, 2010

LAWATAN PROGRAM MENTOR KOKURIKULUM KE SK LAYANG-LAYANGAN DAN SMK MUTIARA




Lawatan Program Mentor Kokurikulum oleh pegawai-pegawai Unit Kokurikulum SPPK pada 24 Feb 2010 diteruskan ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara. Terima kasih kepada Guru Besar (En Safe'i Yunos) dan PK Kokurikulum SK Sungai Lada (En Mohd Jaldin Sadi), serta Pengetua SMK Mutiara (Pn Hjh Zamzam Hj Abd Rashid) dan PK Kokurikulum (Pn Zalina Zunkepely) atas layanan sepanjang lawatan tersebut.

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : PENGAWAS




Sebagai Ketua Warden dan Guru Pengawas (tahun 2000), saya memastikan sekolah mempunyai pasukan pengawas yang ada kredibiliti dan komited dengan tugas. Kepemimpinan mereka perlu sentiasa digilap supaya mereka dapat berperanan sebaik mungkin sebagai "mata dan telinga" pihak sekolah dalam mengawal disiplin dan sahsiah murid-murid SMSL.

LAWATAN MENTOR KOKURIKULUM KE SM SAINS LABUAN




Hari ini 24 Feb 2010, pegawai-pegawai Unit Kokurikulum SPPK meneruskan lawatan Program Mentor Kokurikulum ke SM Sains Labuan. Tahniah kepada guru-guru dan murid-murid SM Sains Labuan kerana telah berjaya membudayakan pemakaian pakaian kokurikulum pada setiap Rabu. Semoga usaha ini akan memberi impak positif kepada sahsiah dan disiplin murid-murid SMSL.

Tuesday, February 23, 2010

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : LAWATAN DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK



Pada tahun 1998, SMSL telah dilawati oleh Menteri Pelajaran ketika itu iaitu Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Sifat prihatin Dato' Sri memang sudah terserlah ketika itu apabila beliau meluangkan masa melawat Asrama Putera walaupun tidak tercatat dalam jadual rasmi. Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Labuan, Pengarah Bahagian Sekolah, Pengarah Pendidikan Sabah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : KOPERASI SBPL BERHAD


Saya diamanahkan sebagai Bendahari Koperasi SBPL Berhad pada 1996. Koperasi SBPL Berhad telah memberi pengalaman kepada murid-murid yang bertugas sebagai jurujual. Sebahagian mereka yang bergambar bersama saya ini sekarang telah menjalankan perniagaan sendiri.

Tentu mereka tersengih-sengih melihat kembali gambar ketika mereka "muda-muda" ni.

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : BOLA TAMPAR



Pada tahun 1994/1995 saya aktif sebagai jurulatih bola tampar SBPL manakala En Sahbudin Ag Muhamad sebagai Pengurus Pasukan. Pertandingan antara rumah dan latihan berterusan pasukan elit telah membawa kejayaan terbesar dalam sejarah SBPL iaitu menjadi Johan Bola Tampar Lelaki Piala Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan 1995 di SHAH Pekan, Pahang. Para pemain berjaya mengatasi tekanan pasukan tuan rumah dalam perlawanan akhir dengan kemenangan 3-1.

Sunday, February 21, 2010

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : EKSPEDISI KINABALU 1993





Saya menyertai Ekspedisi Kinabalu 1993 bersama murid-murid Tingkatan 5 setelah selesai SPM 1993. Ekspedisi diketuai oleh En Zakaria Osman. Ketika itu saya sedang mengikuti KPLI di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sg Petani Kedah. Saya balik ke Beaufort kerana cuti semester dan mengikuti ekspedisi tersebut.

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL : SUKAN TAHUNAN 1993






Pada tahun 1993 saya dilantik sebagai Ketua Guru Rumah Sukan Laksamana. Sebagai ketua tentulah saya bertanggungjawab memastikan Rumah Laksamana menjadi juara. Untuk meningkatkan semangat murid-murid, saya menggubah lagu rumah Laksamana mengambil sempena lagu pasukan bolasepak Kedah Darulaman yang sangat hebat ketika saya masih belajar di UUM (1988-1992). Kelmarin ketika temasya sukan SMSL, selepas 18 tahun saya terdengar lagu tersebut masih dinyanyikan oleh ahli-ahli rumah Laksamana di samping lagu-lagu yang baru.

Saya 'upload' gambar atlit-atlit Laksamana 1993 yang telah menjuarai Sukan Tahunan SBPL 1993. Sebahagian besar daripada mereka telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Di gambar yang pertama, En Mohd Fathullah Mohd Yusof (berbaju kuning), kini bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. Kalau dia melihat gambar ini agaknya dia akan berharap saiz badannya akan kembali seperti ini. Jangan marah Fred...

MENGIMBAU KENANGAN SBPL/SMSL


'House mate' saya ketika saya mula berkhidmat sebagai GSTT di SBPL pada Ogos 1992 iaitu En Maulani Diman. Guru PJK dan Setiausaha Sukan. Dah transfer ke Kota Belud. Dengar khabar buat PhD, mungkin dah dapat title Dr. Murid-muridnya ini ramai yang dah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Harap boleh hadir ke Sambutan Jubli Perak SBPL/SMSL nanti. Hubungi sekolah , 087-461525 (pejabat)

SAMBUTAN JUBLI PERAK 25 TAHUN SBPL/SMSL


Sebagai sokongan dan sumbangan kecil saya untuk menjayakan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun SBPL/SMSL pada 12-14 Mac 2010, saya menyeru kepada bekas murid SBPL/SMSL sejak 1984 hingga 2009 untuk sama-sama menyokong majlis tersebut bersama pihak sekolah dan Alumni SBPL/SMSL. Terutama sekali bekas murid saya antara tempoh 1992 hingga 2002.

Saya akan 'upload' gambar-gambar peristiwa sepanjang 1992-2002 untuk mengembalikan kenangan menjulang nama SBPL/SMSL ketika berkhidmat sebagai guru, kaunselor, Ketua Warden dan PK HEM sebelum saya ditukarkan untuk berkhidmat di Jabatan Pelajaran WP Labuan pada 1 April 2002.

"DI SINI PEMIMPIN DILAHIRKAN"

Saturday, February 20, 2010

TEMASYA SUKAN SM SAINS LABUAN KALI KE 24, TAHUN 2010






Hari ini 20 Feb 2010, saya menghadiri Temasya Sukan SM Sains Labuan yang diadakan di padang SM Sains Labuan. Istilah 'Temasya Sukan' disarankan penggunaannya menggantikan 'Kejohanan Sukan' atau 'Kejohanan Olahraga' sebagai melambangkan kemeriahan sukan yang dihasratkan oleh YAB Menteri Pelajaran.


Tahniah kepada JK Pengelola kerana melibatkan PIBG dan Alumni untuk menjayakan temasya ini. Majlis Perasmian disempurnakan oleh En Lahaji M. Yunus (Pengerusi Alumni SBPL/SMSL). Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster KPM, Pengetua SMK Labuan, Pengerusi PIBG SMSL serta ahli-ahli Alumni SBPL/SMSL


Rakan-rakan saya yang pernah berkhidmat sebagai guru di SM Sains Labuan juga turut hadir memberi sokongan. Antaranya En Omar Baki Matusin (Ketus Sektor SPS), En Asbola Amit (Ketua Unit Sukan), En Sahbudin Ag Muhamad (Ketua Unit Pembangunan). Kehadiran kami kali ini sebagai ibu bapa kerana anak-anak kami juga bersekolah di sekolah ini.


Sunday, February 14, 2010

SELAMAT TAHUN BARU CINA


Saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pegawai Jabatan Pelajaran WP Labuan, guru dan murid serta ibu bapa berbangsa Cina di WP Labuan, dengan harapan agar Tahun Harimau ini akan membawa kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan dalam kalangan kita semua.

Gong Xi Fa Cai !!

Wednesday, February 10, 2010

HARI KOKURIKULUM SK PEKAN SATU









Hari ini 10 Februari (Rabu) saya mengambil kesempatan melawat SK Pekan Satu untuk melihat pelaksanaan pemakaian pakaian kokurikulum pada hari Rabu. Tahniah kepada semua warga SK Pekan Satu kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjayakan Dasar Hari Rabu Hari Kokurikulum. Hampir keseluruhan guru dan murid tahap 2 memakai uniform pada hari ini.


Saya juga mengambil kesempatan mengingatkan murid-murid tentang matlamat kokurikulum untuk membentuk sahsiah dan disiplin. Apabila murid berdisiplin, guru akan dapat mengajar dengan lebih berkesan, dan pastinya prestasi akademik akan meningkat. Murid juga diingatkan agar menghayati falsafah dan objektif setiap pasukan badan beruniform yang dianggotai.


Terima kasih kepada Pn Raiki @Arnie Abdullah (Guru Besar), semua Penolong Kanan dan semua guru yang bersungguh-sungguh memartabatkan kokurikulum di SK Pekan Satu.

MESYUARAT PRE COUNCIL KEJOHANAN OLAHRAGA MSSWPL 2010








Mesyuarat Pre Council Kejohanan Olahraga MSSWPL 2010 telah diadakan pada 9 Februari 2010 jam 2.30 petang, dihadiri oleh Pengetua, Guru Besar, PK Kokurikulum dan Setiausaha Sukan bagi 3 sekolah yang menjadi pengelola kejohanan tahun ini iaitu SM St Anthony, SM St Anne dan SK Rancha-Rancha.

Hadir bersama ialah Pengerusi Teknik Olahraga dan guru-guru yang mahir dalam membina sistem pendaftaran dan statistik kejohanan. Mesyuarat ini diadakan untuk menyelaraskan persediaan untuk Mesyuarat JK Induk Kejohanan Olahraga MSSWPL yang dijangka akan diadakan pada 25 Februari 2010.
Antara perkara yang dipersetujui :

  1. Tarikh kejohanan dicadangkan pada 29 dan 30 Mac (acara padang di SM Teknik), dan 7-10 April (acara balapan di Kolej Matrikulasi Labuan)

  2. Perasmian Pembukaan pada 7 April jam 7.00 pagi di KML, Perasmian Penutupan pada 10 April jam 2.00 petang di KML

  3. Gabungan tenaga dan kemahiran beberapa orang guru akan membentuk satu sistem pendaftaran dan statistik yang standard yang akan digunakan untuk kejohanan ini.

MORNING PRAYER SPPK 9 FEB 2010







Saya bersama pegawai-pegawai SPPK yang lain bersama-sama dalam Morning Prayer SPPK 9 Feb 2010 (Selasa), membincangkan beberapa perkara penting untuk tindakan pegawai-pegawai sektor.