Sunday, January 9, 2011

PERHIMPUNAN GURU 1 LABUAN & PELANCARAN PERANCANGAN STRATEGIK JPWPL 2011-2015

TEKS UCAPAN ALUAN & PEMBENTANGAN PERANCANGAN STRATEGIK JPWPL

2011-2015

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih pengacara majlis

Y.Bhg. Datuk Hj Yunus Bin Hj Kurus

Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan

Wakil rasmi Y.B. Datuk Hj Yussof Bin Hj Mahal

Ahli Parlimen Labuan

Ketua-Ketua Sektor & KPP JPWPL, Ketua Nazir Negeri,

Para Pengetua, Guru Besar, Ketua2 Jabatan, Pengurus Bank Rakyat, Ketua2 Kampung, YDP PIBG, rakan-rakan media, guru-guru dan para hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wrt wbr, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia

Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izinnya jua kita semua dapat hadir dan memeriahkan majlis perhimpunan Guru 1 Labuan & Pelancaran Perancangan Strategik JPWPL 2011-2015 pada pagi ini.

Terima kasih atas kehadiran Y.Bhg. Datuk, tuan2 dan puan2 sekalian.

Hari ini genap 94 hari pendidikan di WP Labuan ini diterajui tanpa seorang Pengarah. Mungkin ini satu ujian kepada kita sejauh mana WP Labuan dapat menguruskan agenda pendidikan tanpa seorang Pengarah yang dilantik secara hakiki.

Memulakan tahun baru tanpa pemimpin merupakan sesuatu yang agak mencabar. Walaupun tiada Pengarah, tetapi fungsi yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Pengarah itu mesti berjalan. Kita tidak pula boleh berdiam diri dan tidak melakukan apa2 untuk pendidikan WP Labuan. Hidup mesti diteruskan. Sebaik saja mantan Pengarah bersara pada 6 Oktober 2010 yang lepas, saya yang segera berbincang dengan rakan2 Ketua2 Sektor tentang hala tuju dan apa yang perlu dirancang untuk pendidikan WP Labuan memandangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) tamat pada akhir 2010 dan pelan 5 tahun berikutnya belum ada lagi.

Pada minggu ketiga Oktober 2010 kita telah memulakan draf Perancangan Strategik JPWPL 2011-2015 dan telah melaksanakan Bengkel PS kepada sekolah2 pada 1 dan 2 Nov 2010. Alhamdulillah, akhirnya kita dapat menyiapkan PS JPWPL pada akhir Disember 2010 dan menjadi JPN pertama di Malaysia yang telah menyiapkan PS 2011-2015. Insya Allah semua sekolah di WPL juga akan menyiapkan PS masing2 sebelum akhir Januari 2011 ini.

Y.Bhg. Datuk / Tuan / Puan,

Perhimpunan hari ini sangat penting untuk para pendidik dan pentadbir pendidikan memperbaharui azam dan tekad untuk berkhidmat lebih cemerlang demi memartabatkan pendidikan di WP Labuan ini. Menilai kekuatan dan kelemahan lalu, menyatukan minda , kemudiannya mengatur langkah bersama-sama ke arah kecemerlangan pendidikan di WP Labuan ini.

Di peringkat awal ini saya ingin memperkenalkan orang2 yang bertanggungjawab secara langsung dalam pendidikan di JPWPL dan di sekolah. Dengan harapan agar ini akan memudahkan banyak urusan dan jalinan kerjasama antara semua pihak akan lebih lancar.

Ketua Sektor :

Pengetua / GB :

Saya ingin menunjukkan data komposisi guru2 di Labuan mengikut tempat asal sama ada dari Labuan, Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Di sekolah rendah guru yang berasal dari Labuan ialah seramai 110 orang, Sabah 344 orang, Sarawak 75 orang dan Semenanjung Malaysia 165 orang dan jumlah keseluruhan guru sekolah rendah seramai 694 orang. Di sekolah menengah, guru yang berasal dari Labuan seramai 52 orang, Sabah 202 orang, Sarawak 41 orang dan Semenanjung Malaysia 291 orang, menjadikan jumlah guru sekolah menengah seramai 586 orang. Jumlah guru berasal dari Labuan seramai 162 orang, Sabah 546 orang, Sarawak 116 orang dan Semenanjung Malaysia 456 orang, menjadikan jumlah guru di WP Labuan seramai 1280 orang.

Saya ingin menekankan bahawa tidak kira dari mana kita berasal, kita semua telah ditakdirkan untuk berkhidmat di sini, dan kita mestilah memberi komitmen sepenuhnya terhadap tugas mendidik anak-anak di WP Labuan ini. Begitu juga jika kita ditakdirkan bertugas di tempat lain selain dari tempat asal kita, maka kita juga perlu memberi komitmen sepenuhnya untuk mendidik anak-anak di tempat tersebut.

Di WP Labuan ini, bilangan murid kita ialah seramai 13502 orang iaitu 8424 murid sekolah rendah dan 5078 murid sekolah menengah. Jumlah ini tidaklah ramai berbanding penonton bola sepak Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil semasa final AFF Suzuki tempoh hari. Kita mesti ada keazaman untuk memastikan setiap murid yang dipertanggungjawabkan kepada kita mencapai kejayaan walaupun tidak semuanya cemerlang.

Dalam kita melaksanakan tugas sebagai pendidik, kita mestilah sentiasa berpegang dan mengamalkan Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia yang tercatat di dalam Buku Rekod Mengajar masing-masing, yang merangkumi :

· Tanggungjawab Terhadap Pelajar

· Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa

· Tanggungjawab terhadap Masyarakat Dan Negara

· Tanggungjawab terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan

Untuk memastikan agar pendidikan di WP Labuan diurus secara sistematik, maka Perancangan Strategik 2011-2015 dibuat. Untuk memahami Perancangan Strategik, secara mudahnya ialah kita mesti tahu apa kedudukan kita sekarang atau di mana kita berada, ke mana hendak dituju dalam tempoh tertentu, dalam konteks ini dalam tempoh 5 tahun, bagaimana cara untuk sampai ke tempat tujuan / apa strategi yang digunakan, dan bagaimana kita tahu kita sampai.

Saya ingin mengambil contoh kedudukan semasa dalam akademik iaitu peperiksaan2 awam. Contohnya UPSR 2010 kita berada pada tahap 60% lulus dan merancang untuk mencapai 85% pada 2015. PMR sekarang pada tahap 70% dan disasarkan mencapai 95% pada 2015. SPM dan STPM pada tahap terbaik yang perlu dipertahankan setiap tahun.

Y.Bhg. Datuk / Tuan / Puan,

Seterusnya saya ingin menjelaskan Visi, Misi, Motto, Nilai2 Teras serta 7 Strategi Teras dalam Perancangan Strategik JPWPL 2011-2015. Buku PS ini tebalnya 137 muka surat, tetapi saya akan hanya menerangkan perkara2 asas sahaja. Naskhah penuh PS ini akan dimuatnaik (upload) ke dalam laman web jabatan secepat mungkin.

Visi JPWPL ialah JPWPL Cemerlang Dalam Pengurusan Pendidikan Pada Tahun 2015. Istilah Cemerlang dipilih kerana Cemerlang merupakan taraf tertinggi dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (markah 90-100), standard lain ialah Baik (80-89), Harapan (60-79), Memuaskan (40-59), Lemah (20-39), Sangat Lemah (0-19).

Misi JPWPL ialah : Kami warga JPWPL komited melaksanakan sistem pengurusan pendidikan berkesan untuk menjana pembangunan modal insan berkualiti berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Moto atau Cogan Kata JPWPL ialah “Menjana Kecemerlangan” dan “Abreast With The Best” bermaksud seiring dengan yang terbaik.

Nilai-Nilai Teras JPWPL kita ambil terus daripada 4 nilai yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri ketika berucap semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam pada 9 mac 2010 iaitu :

1. Membudayakan Kreativiti dan Inovasi : Beberapa kaedah kreatif dan inovatif akan dilaksanakan antaranya mewujudkan sistem eHadir yang membolehkan sekolah2 melaporkan kehadiran murid setiap hari secara online dalam laman web jabatan

2. Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan : Bertindak segera dan tidak melengahkan masa. Mungkin sukar dibudayakan di peringkat awal, tetapi Insyaallah dengan minda yang positif kita akan dapat mengamalkannya.

3. Nilai Untuk Wang (Value For Money) : Untuk memastikan setiap perbelanjaan yang dibuat hendaklah berbaloi atau sepadan dengan hasilnya dan tiada unsur pembaziran

4. Nilai Integriti : memastikan setiap daripada kita mempunyai jati diri dan kejujuran yang tinggi dalam melaksanakan tugas.

7 Strategi Teras telah ditetapkan dalam Perancangan Strategik ini untuk mencapai visi cemerlang 2015 iaitu :

1. Mencemerlangkan Sahsiah Murid

2. Mencemerlangkan Sukan

3. Mencemerlangkan Kokurikulum

4. Mencemerlangkan Akademik

5. Mencemerlangkan Sekolah

6. Mencemerlangkan Pengurusan dan Pembangunan

7. Mencemerlangkan Kepimpinan

Mencemerlangkan Sahsiah Murid :

Data pelanggaran disiplin 31 Oktober 2010 menunjukkan Sekolah Rendah = 1.52% dan Sekolah Menengah = 2.76%.

Matlamat Strategik :

1. Mengukuhkan pembudayaan budi bahasa warga sekolah : dengan cara memantapkan kefahaman terhadap budi bahasa melalui kempen berterusan

2. Memantapkan disiplin murid sekolah : melalui bimbingan dan pembudayaan disiplin secara berterusan

3. Memantapkan perpaduan dan integrasi warga sekolah : melalui pelaksanaan program berbentuk pengukuhan perpaduan dan integrasi

4. Mengukuhkan semangat patriotism : melalui pelaksanaan aktiviti berfokuskan semangat patriotism

5. Mengukuhkan pembentukan jati diri : melalui pelaksanaan program Bimbingan & Kaunseling dan program2 kepimpinan & jati diri

6. Meningkatkan permuafakatan keluarga dan masyarakat : melalui perkongsian pintar dengan ketua2 kampung, PIBG serta jabatan/agensi/ NGO yang berkenaan

Mencemerlangkan Sukan :

Sukan diberi keutamaan dan perhatian oleh YAB Menteri Pelajaran. Konsep kemeriahan sukan sekolah, sukan untuk semua, sukan untuk kecemerlangan, dasar 1 murid 1 sukan, sukan berprestasi tinggi dan sebagainya perlu perancangan teliti di peringkat negeri dan sekolah agar matlamat yang ditetapkan akan dicapai.

Matlamat Strategik :

1. Mewujudkan peluang untuk murid mengembangkan bakat sukan : melalui penyertaan setiap murid dalam sukan dan penyediaan peralatan asas sukan

2. Mewujudkan budaya saing, memupuk nilai kerjasama, patriotik, integrasi dan perpaduan : melalui pelaksanaan kejohanan2 peringkat negeri dan program sukan integrasi

3. Mengembangkan potensi atlet ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa : melalui pelaksanaan program2 pembangunan sukan

4. Meningkatkan ilmu dan kemahiran pengurus dan pemimpin sukan : melalui peluang berkursus dan membuat kajian tindakan

5. Meningkatkan kualiti dan kuantiti infrastruktur sukan : melalui projek naik taraf dan pembangunan infrastruktur sukan

6. Memberi penghargaan kepada atlet dan pemimpin sukan : dengan mengadakan majlis anugerah peringkat negeri / sekolah

Mencemerlangkan Kokurikulum :

Kokurikulum diyakini mampu memperkukuhkan amalan nilai2 murni yang merupakan teras dalam pembentukan sikap dan iklim persekolahan yang kondusif untuk segala aktiviti pendidikan

Matlamat Strategik :

1. Mempertingkatkan kompetensi pengurusan kokurikulum sekolah : melalui pelaksanaan kursus kejurulatihan, pengurusan dan penilaian pengurusan.

2. Mewujudkan peluang kepada murid mengembangkan bakat dan potensi kepimpinan : melalui penyertaan setiap murid dalam kokurikulum peringkat sekolah, pertandingan2 peringkat negeri & kebangsaan dan pelaksanaan Dasar Hari Rabu Hari Kokurikulum

3. Menanamkan sikap positif, membangkitkan semangat patriotik serta integrasi antara kaum : melalui pelaksanaan aktiviti melibatkan pelbagai kaum

4. Meningkatkan aktiviti penyelidikan dalam pembangunan kokurikulum : melalui penghasilan kajian tindakan

5. Meningkatkan penggunaan infrastruktur kokurikulum : melalui penggunaan Pusat Kokurikulum secara aktif

Mencemerlangkan Akademik :

UPSR 2010 WP Labuan masih berada pada tangga ke 14 daripada 16 JPN dari segi peratus lulus keseluruhan, berada bersama Sarawak ke 15 dan Sabah ke 16. Pencapaian dalam Bahasa Inggeris dikenalpasti sebagai faktor utama pencapaian yang agak rendah ini. Transformasi strategi perlu dilaksanakan segera untuk memperbaiki pencapaian. PMR 2010 WP Labuan berada di tangga ke 4 daripada 16 JPN dari segi peratus lulus keseluruhan. Namun masih perlu usaha untuk meningkatkan kualiti cemerlang A dan Gred Purata Sekolah

Usaha2 menjayakan NKRA pendidikan melalui program LINUS dan MBMMBI, serta pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) memerlukan komitmen semua guru.

Matlamat Strategik :

1. Memperkasakan pengurusan kurikulum : melalui pemantapan ilmu pedagogi, pemantapan pengurusan panitia, pemantapan kepimpinan instruksional serta peranan PSS dan PKG/BTPN

2. Meningkatkan kecemerlangan dalam peperiksaan awam : melalui program peningkatan prestasi, pelaksanaan “Headcount” dan peranan Guru Cemerlang

3. Merealisasikan matlamat NKRA : melalui pemantapan pelaksanaan program LINUS dan program MBMMBI

4. Memantapkan pelaksanaan dasar KPM : melalui pemantapan pencapaian dan pelaksanaan jQAF, penawaran bahasa Cina, Tamil dan Bahasa Antarabangsa di Sekolah2 Kebangsaan, serta peningkatan kemahiran ICT murid

5. Memantapkan pelaksanaan reformasi pentaksiran : melalui pemantapan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Mencemerlangkan Sekolah :

Bermatlamat untuk membina konsep sekolah berkesan.

Matlamat Strategik :

1. Memantapkan peluasan program pra sekolah : melalui pertambahan prasarana dan pertambahan murid

2. Memperkukuhkan program pendidikan khas dan pemulihan khas : melalui penyediaan peluang belajar, prasarana yang kondusif

3. Memperkasakan pengurusan sekolah rendah : melalui peningkatan kualiti guru, pengurangan kadar keciciran dengan kerjasama PIBG & Ketua Kampung serta pemantauan berfokus

4. Memantapkan pengurusan sekolah menengah : melalui penempatan pentadbir dan guru berkualiti, pemantapan Kelas Rancangan Khas, pemantapan pengurusan Pusat Sumber Sekolah

5. Mewujudkan sekolah kluster kecemerlangan dan sekolah berprestasi tinggi : melalui pemantapan budaya kerja cemerlang dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara

6. Mewujudkan budaya saing untuk penambahbaikan sekolah ke arah amalan ciri-ciri sekolah berkesan : melalui pengurusan berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKSM)

7. Menggalakkan rangkaian pendidikan global (networking) melalui akses teknologi yang tepat dan berkesan : melalui jaringan dengan sekolah dalam dan luar negara

8. Meningkatkan kualiti pengurusan dokumen sekolah yang sistematik : melalui pelaksanaan rintis sekolah mengikut MS ISO 9001:2008

Mencemerlangkan Pengurusan dan Pembangunan :

Matlamat Strategik :

1. Memantapkan Pengurusan Perkhidmatan / Perjawatan di Jabatan dan Sekolah

2. Memperkasakan program pembangunan sumber manusia

3. Meningkatkan pengetahuan dan kreativiti sumber manusia

4. Menguruskan kewangan dengan efisien, akauntabiliti dan integriti

5. Meningkatkan usaha program pengiktirafan dan penghargaan, meningkatkan nilai murni, semangat kerja berpasukan

6. Memantapkan pengurusan organisasi yang berkualiti

7. Meningkatkan kualiti komuniti melalui penyediaan prasarana dan amenity yang lebih sempurna

8. Meningkatkan integrity dan menanamkan nilai-nilai murni di kalangan pegawai dan anggota

9. Memperkasa prasarana ICT

10. Memperkasakan pengurusan ICT

11. Memantapkan system pengurusan dan penyampaian yang berkesan melalui aplikasi ICT

12. Memperkasa pengurusan data dan maklumat

Mencemerlangkan Kepimpinan :

Pemimpin merupakan individu yang boleh member pengaruh kepada individu lain di dalam suatu organisasi. Mencemerlangkan kepimpinan memerlukan usaha bersama antara Jabatan dan sekolah-sekolah. Kebolehan dan kemahiran pengurus dalam mengurus dan memimpin organisasi akan membolehkan organisasi berjaya dan cemerlang.

Matlamat Strategik :

1. Memantapkan kepimpinan dan pengurusan organisasi yang berkualiti : melalui pemahaman dan pelaksanaan SKPM

2. Memantapkan kepimpinan pengurus sekolah sebagai pemimpin instruksional yang cekap dan berkesan

3. Memantapkan pembangunan inovasi pendidikan dan pembuatan keputusan pengurusan organisasi yang tepat, cekap dan berkesan

4. Mengukuhkan kepimpinan pengurusan sumber manusia yang berilmu dan beramal dengan pembelajaran sepanjang hayat

5. Memperkasa modal insan melalui pendekatan psikologi

6. Memperkasa pengurusan organisasi melalui MS ISO 9001:2008

PEMANGKIN :

Kita mengambil iktibar daripada inisiatif YAB Perdana Menteri mewujudkan Gagasan 1 Malaysia yang diharap menjadi pemangkin mempercepatkan pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020

Oleh itu, kita juga mewujudkan konsep 1 Jabatan (JPWPL) dan 1 Sekolah : Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai pemangkin yang akan mempercepatkan pencapaian matlamat Perancangan Strategik JPWPL.

Murid Didahulukan bermaksud setiap murid hendaklah mendapat hak untuk memiliki disiplin dan sahsiah yang baik, peluang terlibat dalam aktiviti kepimpinan, akademik, kokurikulum dan sukan, serta urusan kebajikan seperti biasiswa / bantuan sentiasa terjaga

Pencapaian Diutamakan bermaksud keutamaan diberi kepada prestasi Pengajaran & Pembelajaran guru, prestasi akademik, prestasi kokurikulum dan sukan, keberkesanan pentadbiran, kecekapan urusan kewangan dan pembangunan.

PENUTUP :

Saya merayu kepada pihak pemimpin masyarakat, ketua kampong, PIBG, Jabatan/agensi lain serta rakan-rakan media agar terus menyokong agenda pendidikan di WP Labuan. Perkongsian pintar bersama sekolah-sekolah amatlah diharapkan.

Kepada semua guru, ingatlah bahawa guru merupakan satu kerjaya dan satu perjuangan. Jika kita hanya menganggap guru sebagai satu kerjaya maka kita akan cenderung untuk memikirkan kebaikan / kepentingan yang akan kita dapat sahaja seperti gaji, pangkat dan kedudukan.

Tetapi jika kita melihat guru sebagai satu kerjaya dan satu perjuangan, kita akan melihat keperluan pengorbanan kepada anak-anak kita yang mana kitalah penentu apa yang akan terjadi kepada mereka dalam jangka masa panjang.

Akhirnya marilah kita bersama-sama menyatukan minda, tekad dan tindakan demi mencapai Visi cemerlang 2015 untuk JPWPL dan semua sekolah.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum wrt wbr