Friday, January 1, 2010

ALLAHYARHAM CIKGU AWANG DAUT ADAP DALAM KENANGAN




Tahun 2010 membuka lembaran dengan berita sedih. 1 Januari 2010 kira-kira jam 5.00 pagi saya dikejutkan dengan panggilan dan sms dari rakan-rakan memaklumkan bahawa Cikgu Awang Daut Adap (PK Kokurikulum SK Patau-Patau) telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 3.00 pagi di Hospital Labuan.

Saya sempat menziarahi keluarga Allahyarham dan mengiring jenazah ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Hadir sama ialah Y.Bhg. Pengarah Pelajaran WP Labuan En Mohammad Zaki Mohd Yusof, mantan Guru Besar SK Patau-Patau En Agku Chuchu Pg Mat Yassin, rakan-rakan warga pendidik dan saudara mara serta sahabat handai.

Saya pernah bertugas bersama Allahyarham di SM Sains Labuan sejak tahun 1992 sebelum beliau bertukar ke sekolah lain. Allahyarham seorang yang aktif dalam sukan sebagai jurulatih olahraga, sepak takraw dan bola sepak, telah membawa banyak kejayaan kepada SM Sains Labuan (SBPL ketika itu) menjadikan pasukan SBPL sebagai pasukan yang digeruni oleh sekolah-sekolah lain.

Tugas terakhir Allahyarham sebagai PK Kokurikulum SK Patau-Patau menampilkannya sebagai seorang yang komited dan bertanggungjawab terhadap tugas. Dalam setahun kebelakangan ini ketika beliau sering mendapatkan rawatan susulan, beliau terus menjalankan tugasnya demi anak bangsa yang tercinta.

Jasa dan pengorbanannya akan terus terpahat dalam memori dan akan dikenang sepanjang hayat. Semoga keluarga Allahyarham tabah menempuh dugaan ini. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

No comments:

Post a Comment